Tuesday, October 17, 2006

bangau oh bangau...

Kisah bangau oh bangau di negeri Alam Shah Bana...

Satu al-kisah Maharaja Negeri Alam Shah Bana (meminjam nama negeri P. Ramlee), menitahkan semua pegawai dalam kerajaannya datang bersemuka untuk satu sesi dialog bagi membincangkan masalah banjir besar yang melanda negeri tersebut. Maka setelah semuanya berkumpul Maharaja tersebut dengan tidak melengahkan masa terus sahaja meminta pegawai yang bertanggungjawab melebar dan mendalamkan sungai memberi sebab-sebab mengapa banjir boleh berlaku.

Maka pegawai itu pun berkata:


“Tuanku, patik telah berusaha dengan begitu susah payah untuk mendalam dan melebarkan sungai ini, namun banjir tetap juga berlaku, Tuanku. Beginilah Tuanku, perkara ini mungkin kita boleh tanyakan kepada Pegawai Pembangunan kerana beliau lebih arif tentang punca banjir ini berlaku. Patik lihat banyak kawasan telah dibangunkan dengan pelbagai prasarana, perumahan, perniagaan dan industri yang telah menyebabkan peningkatan air larian sehingga kalau berlaku hujan dengan kadar yang sedikit pun ia tetap akan mengakibatkan banjir. Apatah lagi sekiranya berlaku hujan dengan kadar luar biasa seperti yang terjadi baru-baru ini. Oleh kerana patik tidak mendapat maklumat tersebut maka patik design ikut keadaan semasa sajalah. Itulah cadangan patik Tuanku”.

Percaya dengan kata-kata Pegawai Melebar dan Mendalam Sungai, Tuanku pun menitahkan supaya Pegawai Pembangunan bangun memberi penjelasan.

“Mungkin ada juga betulnya apa yang dikatakan oleh Pegawai Melebar dan Mendalam Sungai itu Tuanku. Tapi kalau kita tanyakan kepada Pegawai Perancangan itu mungkin lebih baik kerana Pegawai Perancangan yang membuat perancangan. Mestilah dia telah buat projection berapa kadar air larian yang akan diakibatkan oleh pembangunan yang akan dilaksanakan nanti. Sepatutnya dengan nasihat yang akan diberikan oleh Pegawai Perancangan itu maka dapatlah kita menganggarkan saiz sungai yang akan kita bina nanti supaya sungai tersebut boleh menampung pertambahan air larian yang diakibatkan oleh sesuatu kawasan yang akan dibangunkan.”

Tuanku pun memalingkan muka ke arah Pegawai Perancangan. Mengerti dengan keadaan tersebut maka beliau pun memberi respons.

“Bukanlah patik nak mengelakkan diri dari dituduh Tuanku. Perancangan yang patik buat memang telah mengambilkira pertambahan penduduk dan segala aspek pembangunan yang akan dijalankan dalam kawasan tadahan. Perancangan yang patik buat bagi pembangunan di situ adalah yang paling optimum. Tidak pernah dalam sejarah perancangan ianya telah dibuat dengan begitu teliti. Patik rasa baik kita minta penjelasan Pegawai Melulus Tanah kerana tanah-tanah yang sepatutnya menjadi green lung itu telah menjadi milik individu.

Sebab dalam pelan master yang patik buat dahulu banyak kawasan rezab green lung yang
patik telah rancangkan. Dengan adanya green lung ini, di samping dapat menyerap haba di kawasan bandar ia juga berkesan menyerap air hujan lebat yang turun sekaligus mengelakkan daripada berlaku banjir. Jadi patik tidak puas hatilah kalau patik yang persalahkan”.

Sambil menggaru-garu kepala, Pegawai Melulus Tanah bangun mempertahankan diri.

”Begini Tuanku, tanah ini sebenarnya telah dipohon seseorang yang patik tidak ada kuasa menolaknya, patik cuma menjalankan tugas. Jadi demi menjaga periuk nasik patik, baik patik luluskan sahaja tanah-tanah yang mereka pohon itu. Lagi pun kalau nasib baik adalah sedikit imbuhannya dari orang yang mohon tanah itu. Di samping itu, patik rasa elok juga kita minta penjelasan kepada Datuk Bendahara kerana Datuk Bendahara yang memegang peruntukan, mungkin peruntukan yang diluluskan tidak mencukupi untuk menampung projek-projek melebar dan mendalamkan sungai”.

Maka Datuk Bendahara pun bersuara: ”Benar seperti yang diperkatakan oleh Pegawai Melulus Tanah itu, Tuanku. Perutukan yang diluluskan tidak memadai bagi pembinaan struktur menebat banjir yang memerlukan puluhan juta ringgit. Tapi apa boleh buat, itu sahaja duit yang kita ada. Keadaan ekonomi masih belum pulih dari kelembapan menyebabkan cukai korporat tidak menggalakkan. Apa yang boleh saya buat, ini hanyalah disebabkan masalah ekonomi. Adalah baik juga kalau kita tinjau pendapat Pegawai Ekonomi mengapa boleh terjadi demikian”

Dengan tersipu-sipu Pegawai Ekonomi bangun. Dalam hatinya berkata ”Ingatkan aku boleh selamat tadi..”. Maka beliau pun berkata: ”George Soros, Tuanku, George Soros”.

”Apa kena mengena dengan George Soros?”. Titah Tuanku

”Beliau telah menyedut wang yang rancak mengalir dalam negara seumpana pontianak menyedut darah dari badan kita Tuanku.....jadi George Soros yang salah tuanku, George Soros....”

”Jadi Beta dah dapat bayangkan dah...George Soros ni serupa dengan ular dalam kisah Bangau oh Bangau. Rupa-rupanya George Soros yang punya angkara. Datuk Panglima pergi tangkap George Soros dan bawa dia ke muka pengadilan...”

Jawab Datuk Panglima, perlahan ”Tak boleh Tuanku....”

”Kenapa tak boleh?”

”Makan dan barbekiu kita hari ini dia yang sponsor Tuanku.....”

”Alamak....” Maharaja tak dapat berkata-kata lagi....

Begitulah serba sedikit cerita ringkas di negeri Alam Shah Bana tentang betapa besarnya pengaruh Lagu ”Bangau oh Bangau” yang dinyanyikan oleh pegawai-pegawai negeri Alam Shah Bana semasa dizaman persekolahan mereka dahulu sehingga terbawa-bawa ke alam pekerjaan.
Menyedari hakikat tersebut, maka lagu ”Bangau oh Bangau” yang asyik menyalahkan orang lain telah tidak lagi diperdengarkan apatah untuk dinyanyikan di negeri Alam Shah Bana.

Tetapi bagaimana pula dengan keadaan kita hari ini? Cubalah tuan-tuan dan puan-puan tanyakan pada anak-anak terutama yang sekolah rendah sama ada mereka masih diajarkan dengan lagu ’Bangau oh Bangau’. Jadi diharapkan ada sedikit moral yang boleh kita ambil dari kisah bangau oh bangau ini.

Sekian.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?