Monday, October 24, 2005

Aku Jaguh....

Wujud semula Akta Perkhidmatan tidak jejas Parlimen - Shahrir

JOHOR BAHRU 23 Okt. - Cadangan untuk mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 tidak akan menjejaskan kredibiliti Parlimen sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang tertinggi di negara ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBC), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau yakin cadangan itu tidak akan menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku di Parlimen Taiwan.

Jelas beliau, dalam persidangan yang berlangsung di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kedua-duanya dikawal oleh Yang Dipertua Dewan dan kebanyakan ahli Parlimen merupakan golongan profesional yang mengutarakan isu-isu berkaitan rakyat.

``Saya tidak nampak jika akta itu diperkenalkan semula ia boleh menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku di Taiwan,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan hari raya kepada sembilan keluarga miskin di Kampung Desa Makmur Majidie di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz pada 17 Oktober lalu yang memberi peringatan bahawa Dewan Rakyat akan diibaratkan sebagai `kongsi gelap' jika akta berkenaan yang dimansuhkan 13 tahun, lalu diwujudkan semula secara tiba-tiba.

Shahrir berkata, ketika akta tersebut dilaksanakan bermula tahun 1963 hingga 1992, tiada berlaku kekecohan termasuk tumbuk menumbuk kerana ahli parlimen berdebat dengan lebih matang, teratur dan sopan.

``Akta itu hanya meletakkan pentadbiran Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara berada dalam kedudukan yang bebas daripada sistem pentadbiran awam,'' katanya.

Beliau memberi contoh, terdapat ahli Parlimen meminta kerajaan untuk melantik 10 orang pembantu penyelidik bagi kerja-kerja yang memerlukan penyelidikan.

Bagaimanapun jelasnya, sejak setahun lalu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum memberi jawapan mengenai kedudukan kumpulan tersebut untuk menjalankan tugas mereka.

Katanya, sungguhpun 10 orang pembantu penyelidik itu telah ditemu duga dan kalangan mereka dijanjikan kontrak selama tiga tahun, tetapi hanya diberi kontrak dua tahun dan gaji yang dijanjikan iaitu RM5,000 pula cuma diberi RM3,000 sahaja.

``Masalah itu angkara putar belit pentadbiran awam yang akan merosakkan Parlimen itu sendiri bagi membolehkan ia berfungsi dengan berkesan,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 24 Oktober 2005


Friday, October 21, 2005

Takziah Untuk Keluarga PM

Ahli Parlimen ucap takziah

KUALA LUMPUR: Seluruh warga Ahli Parlimen merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kepulangan isteri beliau, Datin Seri Endon Mahmood ke rahmatullah, semalam.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata Ahli Parlimen amat sedih dan mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri dan semoga beliau bersabar.

“Saya tahu ini adalah kehilangan besar kepada keluarga Perdana Menteri kerana hubungan mereka rapat, lebih-lebih lagi karier politik Pak Lah disokong kuat isterinya,” katanya di Lobi Parlimen, semalam.

Serentak itu, persidangan Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sehingga Isnin ini sebagai menghormati pemergian Endon.

Pengumuman dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, sebaik persidangan dimulakan pada jam 10 pagi.

“Saya bagi pihak ahli Yang Berhormat dan pihak Parlimen seluruhnya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Perdana Menteri serta seluruh anggota keluarganya.

“Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan mereka yang salih dan salihah,” katanya.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, berkata berita pemergian Endon amat mengejutkan pada saat rakyat berasa peluangnya untuk sembuh daripada penyakit barah yang dihidapinya amat tinggi.

“Walaupun sering tidak dapat menemani Perdana Menteri sebagai wanita pertama sepanjang dua tahun kebelakangan ini, beliau tetap mempunyai kesan mendalam di hati rakyat sebagai individu penyayang serta gemar membuat kerja kebajikan.

“Sifatnya yang tidak pernah mengalah dalam memerangi barah hingga ke akhir hayat patut dicontohi wanita lain di negara ini yang berdepan dengan nasib sama,” katanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata seluruh pimpinan Pas merakamkan ucapan takziah kepada Abdullah dan keluarga serta berharap beliau bersabar menempuhi ujian Allah.

“Semoga rohnya dirahmati Allah,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, dari Makkah.

kami harap Perdana Menteri sekeluarga tenang menghadapi dugaan ini,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, dari Makkah.

Kedua-duanya kini berada di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata pemergian Allahyarhamah adalah kehilangan besar kepada negara dan berharap Abdullah sekeluarga menerima ujian Allah itu dengan tabah.

“Semoga keberkatan Ramadan memberi kekuatan dan ketabahan kepada Pak Lah sekeluarga,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat ditangguh

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sehingga Isnin ini sebagai menghormati kepulangan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, ke rahmatullah.

Pengumuman dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, sebaik persidangan dimulakan pada jam 10 pagi.

“Dengan perasaan yang amat dukacita dan sedih, ingin saya maklumkan bahawa Yang Amat Berbahagia, Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.55 pagi ini.

“Saya bagi pihak ahli-ahli Yang Berhormat dan pihak Parlimen seluruhnya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Perdana Menteri serta seluruh anggota keluarganya.

“Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan mereka yang salih dan salihah.

“Saya menjemput ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bangun. Kepada yang beragama Islam diminta menghadiahkan Al-Fatihah dan bukan beragama Islam, bertafakur selama satu minit.

“Bagi menghormati Allahyarham, saya menangguhkan majlis mesyuarat ini sekarang sehingga pukul 10 pagi Isnin, 24 Oktober 2005,” katanya.

Mengikut aturan persidangan, Menteri Kewangan dijadualkan menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 peringkat dasar, semalam.

Sementara itu, Ramli ketika ditemui di Lobi Parlimen berkata, Endon adalah kenalan lama keluarganya yang sentiasa mengambil berat kebajikan orang lain.

“Allahyarham cekal melawan penyakitnya dan pemergiannya adalah kehilangan besar kepada semua,” katanya.

Timbalan Speaker, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata kekuatan Endon melawan barah yang dihidapinya membuktikan semangat juang wanita pertama itu untuk sembuh, tidak pernah luntur.

“Sebagai doktor, saya tahu sangat keperitan dan kesukaran melawan barah...ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Petikan: Berita Harian 21 Oktober 2005


Tuesday, October 18, 2005

Kelab "Kongsi Gelap" Parlimen :P

‘Parlimen bukan kongsi gelap’
Laporan Veena Rusli dan Nurul Hazren Masitom

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberi peringatan bahawa Dewan Rakyat akan diibaratkan sebagai ‘kongsi gelap’ jika Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dimansuhkan 13 tahun lalu diwujudkan semula secara tiba-tiba.

Memulakan penggulungan perbahasan Bajet 2006 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, sebarang usaha menghidupkan akta itu mesti mengikut prosedur.

"Isu PSA ditimbulkan daripada soalan tambahan ketika sesi soal jawab. Mana boleh kita main tarik daripada sesi soal jawab untuk kembalikan akta...kena ikut caranya, kalau tak jadi macam kongsi gelap.

"Saya kena kemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Dewan Rakyat dan bawa balik ke Dewan ini untuk dibahaskan sebelum diluluskan sebagai usul... saya nak buat dengan cara betul.

"Untuk melakukannya, kita kena pinda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan... kalau tak ikut prosedur, nanti orang kata Eksekutif nak campur tangan ," katanya menjawab celahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang memuji Jawatankuasa Dewan Negara kerana lebih awal membincangkan isu itu dalam mesyuaratnya Jumaat lalu.

Ahli Parlimen mahu PSA diwujudkan semula bagi mengurus pentadbiran Parlimen yang kini menjadi tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sebahagian besar Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berdiri bagi menyokong cadangan yang dibangkitkan pada sesi soal jawab Khamis lalu.

Nazri berkata, pelantikan ketua pentadbiran Parlimen yang diumumkan minggu lalu tidak akan menjejaskan kebebasan dan doktrin pengasingan kuasa.

Katanya, beban tugas sedia ada yang digalas Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara cukup besar dan tidak perlu ditambah dengan perkara remeh seperti kebersihan tandas atau kebocoran siling.

"Kita belanja RM99 juta untuk menaik taraf Parlimen, takkan masalah tandas rosak pun nak cari Setiausaha Dewan kerana mereka perlu memberi tumpuan kepada urusan berkaitan perjalanan Dewan, jadi kita bagi orang lain untuk mantapkan pengurusan pentadbiran,” katanya

Celahan bertalu-talu Lim berhubung usaha kerajaan membanteras rasuah selepas itu menjejaskan ucapan Nazri yang kemudian berkata: "Nasib baik saya puasa, kalau tak kena dah dia ni."

Ketua Pembangkang itu meminta kerajaan bersikap lebih serius menghapuskan rasuah dan berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyifatkan rasuah sudah menjadi budaya hidup rakyat negara ini.

Mendengar kenyataan itu, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) bingkas bangun dan menyifatkan Lim sebagai pengkhianat kerana kenyataan rasuah menjadi budaya masyarakat boleh menakutkan pelabur asing.

Lim mempertahankan hujahnya dengan berkata: "Bukan saya kata, Tun Dr Mahathir yang kata. Adakah Sri Gading berani memanggil Dr Mahathir sebagai pengkhianat."

Mohamed berkata: "Saya tak sebut nama Dr Mahathir, saya kata siapa yang cakap macam tu akan membuatkan pelabur lari."

Menyambung penggulungan, Nazri berkata, tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap anak Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar, beberapa hari lalu membuktikan ketegasan kerajaan membasmi rasuah tanpa mengira kedudukan individu.

Petikan: Berita Harian 18 Oktober 2005


Monday, October 17, 2005

Hidup Lagi Setelah Dibacakan Talkin

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 perlu dihidup semula

Laporan HATA WAHARI dan HAIRULAZIM MAHMUD

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini meminta kerajaan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang telah dimansuhkan pada tahun 1992 bagi memastikan kebebasan Parlimen tidak diganggu gugat.

Sebanyak 50 orang ahli Parlimen yang berada di dalam dewan termasuk daripada pembangkang bangun menyokong saranan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Datuk Shahrir Samad agar kerajaan jangan melengah-lengah untuk menghidupkan dan membawa akta itu ke Parlimen bagi diluluskan.

Suasana tegang itu tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mencetuskan rasa marah di kalangan ahli-ahli Parlimen yang menggunakan alasan bahawa akta itu tidak boleh dibawa ke Kabinet kerana Jawatankuasa Dewan Rakyat dan Negara belum bermesyuarat untuk meminta kerajaan menghidupkan semula akta tersebut.

``Kerajaan hanya membantu, terpulang kepada Jawatankuasa Dewan bila untuk membentangkan akta tersebut, lambat atau cepat terpulang kepada jawatankuasa bila hendak bermesyuarat serta memaklumkan kepada Kabinet,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Shabery Cheek (BN-Kemaman) yang bertanya bila kerajaan hendak menghidup dan membentangkan Akta Perkhidmatan Parlimen untuk diluluskan pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Akta tersebut yang dimansuhkan pada 1992 merupakan akta yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk menguruskan sendiri pentadbiran seperti dari segi melantik kakitangan, menguruskan kewangan dan menyediakan segala kemudahan tanpa perlu merujuk kepada Kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam seperti sekarang.

Jawapan Nazri yang menyalahkan Jawatankuasa Dewan belum bermesyuarat menyebabkan Shahrir mengemukakan soalan tambahan dengan menyatakan sekiranya sekarang ini ahli-ahli Parlimen menyokong menghidupkan semula akta tersebut adakah beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet.

Ini menyebabkan Shahrir meminta semua ahli-ahli Parlimen bangun untuk membuktikan bahawa mereka semua menyokong akta itu dihidupkan semula.

``Saya ingin tanya menteri kalau sekarang ini semua ahli-ahli Parlimen menunjukkan sokongan, boleh tak menteri beritahu, Kabinet jangan panjang cerita hidupkan semula akta tersebut. Sekarang ni boleh tak menteri bawa balik ke Kabinet agar akta itu diadakan semula,'' katanya ketika semua ahli Parlimen berdiri untuk menyokong saranan tersebut.

Namun Nazri menegaskan, kalau perkara ini hendak dilaksanakan perlulah mengikut peraturan dan sekiranya Jawatankuasa Dewan perlu bermesyuarat ia perlu dipatuhi.

``Saya boleh membawa ini kepada eksekutif untuk menunjukkan sokongan ahli-ahli Parlimen tetapi jangan cakap lidah bercabang, kalau hendak perlu ikut peraturan iaitu Jawatankuasa Dewan perlu bermesyuarat.

``Kerajaan tidak mahu 20 tahun akan datang ada ahli Parlimen bangkit menyatakan Jawatankuasa Dewan tidak bermesyuarat oleh itu akta itu tidak sah untuk dibawa ke Parlimen bagi diluluskan. Jawatankuasa dewan perlu buat keputusan kemudian syorkan kepada kerajaan, saya akan bawa kepada Kabinet,'' katanya.

Terdahulu semasa menjawab soalan asal Ahmad Shabery yang ingin tahu adakan kerajaan akan membuat pindaan undang-undang untuk menjelaskan konsep kebebasan Parlimen, Nazri memberitahu, akta itu telah dimansuhkan pada tahun 1992 dan sejak ia diwujudkan pada tahun 1963 ia berjalan dengan baik.

``Pemansuhan akta itu bukan diarahkan oleh Kabinet sebaliknya atas permintaan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa itu. Kerajaan hanya membantu atas permintaan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memansuhkan akta tersebut,'' katanya.

Petikan: Utusan Melayu 14 Oktober 2005


Thursday, October 13, 2005

Selamat Datang Boss Baru ;)

Kamarudin dilantik Ketua Pentadbiran Parlimen

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Selepas membuat penjelasan soal kekeliruan penubuhan `pejabat' di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kamarudin Mohamad Baria sebagai Ketua Pentadbiran Parlimen berkuat kuasa 15 September lalu.

Menurutnya, pelantikan tersebut dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong sama seperti pelantikan Setiausaha-Setiausaha Dewan.

Di samping itu, menteri berkenaan turut memohon maaf kepada wartawan mengenai penggunaan istilah `jabatan' yang telah mengelirukan banyak pihak termasuk ahli Parlimen yang menganggap ia sebagai cubaan campur tangan eksekutif dalam Parlimen.

``Saya mohon maaf mengenai perkara itu. Kedudukan Ketua Pentadbiran adalah setaraf dengan Setiausaha Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Negara yang akan melapor terus kepada Speaker.

``Kabinet hari ini memutuskan penggunaan istilah jawatan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam Mohamed Nazri mendakwa bahawa kewujudan jabatan yang disebut-sebut itu hanya persepsi media ekoran pengumumannya mengenai pelantikan bakal seorang Ketua Pengarah bagi mengetuai jabatan.

Sedangkan sebelum itu beliau sendiri yang mengumumkan penubuhan jabatan berkenaan bagi membolehkannya mengadakan mesyuarat pasca Kabinet seperti menteri-menteri lain.

Khamis lepas, menteri itu mengumumkan kelulusan kerajaan bagi penubuhan Jabatan Parlimen yang bertanggungjawab mengendalikan urusan pentadbiran membabitkan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkuat kuasa 15 September lalu.

Katanya, penubuhan jabatan baru itu adalah bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dan menerima arahan Kabinet membabitkan urusan Parlimen secara terus.

Selaras dengan itu, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melantik seorang Ketua Pengarah bagi jabatan tersebut yang diletakkan di bawah kuasa menteri.

Selama ini perjalanan dan pengurusan pentadbiran Parlimen diletak di bawah tanggungjawab Setiausaha Dewan Rakyat yang juga Setiausaha Dewan Negara.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah oleh anggota-anggota Parlimen yang menganggap penubuhan jabatan itu sebagai usaha campur tangan eksekutif dalam institusi Parlimen negara.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, peranan dan bidang kuasa beliau kekal seperti yang sedia ada.

Petikan: Utusan Malaysia 13 Oktober 2005


Wednesday, October 12, 2005

Interesting Facts About Petai

Little did you know ..... after reading THIS, you'll NEVER look at petai in the same way again!
Petai contain three natural sugars -sucrose, fructose and glucose - combined with fiber, petai gives an instant, sustained and substantial boost of energy. Research has proved that just two servings of petai provide enough energy for a strenuous 90-minute workout. No wonder petai is the number one fruit with the world's leading athletes. But energy isn't the only way petai can help us keep fit. It can also help overcome or prevent a substantial number of illnesses and conditions, making it a must to add to our daily diet.

Depression:
According to a recent survey undertaken by MIND among people suffering from depression, many felt much better after eating petai. This is because petai contain tryptophan, a type of protein that the body converts into serotonin, known to make you relax, improve your mood and generally make you feel happier.

PMS(premenstrual syndrome)
Forget the pills - eat petai. The vitamin B6 it contains regulates blood glucose levels, which can affect your mood.

Anemia:
High in iron, petai can stimulate the production of hemoglobin in the blood and so helps in cases of anemia.

Blood Pressure:
This unique tropical fruit is extremely high in potassium yet low in salt, making it the perfect to beat blood pressure. So much so, the US Food and Drug Administration has just allowed the petai industry to make official claims for the fruit's ability to reduce the risk of blood pressure and stroke.

Brain Power :
200 students at a Twickenham (Middlesex) school were helped through their exams this year by eating petai at breakfast, break, and lunch in a bid to boost their brain power. Research has shown that the potassium-packed fruit can assist learning by making pupils more alert.

Constipation :
High in fiber, including petai in the diet can help restore normal bowel action, helping to overcome the problem without resorting to laxatives.

Hangovers:
One of the quickest ways of curing a hangover is to make a petai milkshake, sweetened with honey. The petai calms the stomach and, with the help of the honey, builds up depleted blood sugar levels, while the milk soothes and re-hydrates your system.

Heartburn:
Petai has a natural antacid effect in the body, so if you suffer from heartburn, try eating petai for soothing relief.

Morning Sickness:
Snacking on petai between meals helps to keep blood sugar levels up and avoid morning sickness.

Mosquito bites:
Before reaching for the insect bite cream, try rubbing the affected area with the inside of the petai skin. Many people find it amazingly successful at reducing swelling and irritation.

Nerves:
Petai is high in B vitamins that help calm the nervous system.

Overweight
Studies at the Institute of Psychology in Austria found pressure at work leads to gorging on comfort food like chocolate and crisps. Looking at 5,000 hospital patients, researchers found the most obese were more likely to be in high-pressure jobs. The report concluded that, to avoid panic-induced food cravings, we need to control our blood sugar levels by snacking on high carbohydrate foods every two hours to keep levels steady.

Ulcers:
Petai is used as the dietary food against intestinal disorders because of its soft texture and smoothness. It is the only raw fruit that can be eaten without distress in over-chronicler cases. It also neutralizes over-acidity and reduces irritation by coating the lining of the stomach.

Temperature control:
Many other cultures see petai as a "cooling" fruit that can lower both the physical and emotional temperature of expectant mothers. In hoiland, for example, pregnant women eat petai to ensure their baby is born with a cool temperature.

Seasonal Affective Disorder (SAD) :
Petai can help SAD sufferers because they contain the natural mood enhancer, tryptophan.

Smoking:
Petai can also help people trying to give up smoking. The B6, B12 they contain, as well as the potassium and magnesium found in them, help the body recover from the effects of nicotine withdrawal.

Stress:
Potassium is a vital mineral, which helps normalize the heartbeat, sends oxygen to the brain and regulates your body's water balance. When we are stressed, our metabolic rate rises, thereby reducing our potassium levels. These can be rebalanced with the help of a high-potassium petai snack.

Strokes:
According to research in "The New England Journal of Medicine, " eating petai as part of a regular diet can cut the risk of death by strokes by as much as 40%"

Warts:
Those keen on natural alternatives swear that if you want to kill off a wart, take a piece of petai and place it on the wart.
Carefully hold the petai in place with a plaster or surgical tape!

So, you see, petai really is a natural remedy for many ills. When you compare it to an apple, it has four times the protein, twice the carbohydrates, three times the phosphorus, five times the vitamin A and iron, and twice the other vitamins and minerals. It is also rich in potassium and is one of the best value foods around. So maybe its time to change that well-known phrase so that we say, "A Petai a day keeps the doctor away

PM Dr.Aminuddin AHK
Dept.of Physiology
Medical faculty of UKM
Kuala Lumpur
Tel:6(03)40405157
fax:6(03)26939687


Macam Main Tarik Tali Pulak...

Nazri ‘tarik balik’ tubuh Jabatan Parlimen

KUALA LUMPUR: Tidak sampai seminggu selepas mengumumkan penubuhan Jabatan Parlimen yang diketuai seorang ketua pengarah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, semalam menjelaskan ia salah faham istilah dan tanggapan.

“Apa saya nyatakan ialah penubuhan satu jawatan bagi menerajui pentadbiran Parlimen. Mungkin kerana apabila saya nyatakan akan ada jawatan ketua pengarah, media beranggapan bahawa ada satu jabatan.

“Apa yang saya maksudkan ialah jabatan dengan huruf kecil (pejabat), bukan huruf besar (jabatan). Salah faham ini berlaku kerana gelombang pemikiran tidak sama,” katanya pada sidang meja bulat tergempar anjuran DAP di Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Mesyuarat dihadiri Ahli Parlimen Pembangkang dan wakil pertubuhan bukan kerajaan itu sebahagian daripada kempen ‘Selamatkan Parlimen’ dilancarkan DAP kelmarin.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengemukakan usul tergempar supaya Dewan Rakyat membincangkan penubuhan Jabatan Parlimen yang disifatkannya sebagai usaha pengambilan kuasa dan fungsi Parlimen oleh pihak eksekutif.

Bagaimanapun, usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, kerana ia tidak perlu disegerakan dan boleh dibangkitkan ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 yang sedang berlangsung.

Minggu lalu, Nazri mengumumkan pada sidang media di Lobi Parlimen bahawa Kabinet setuju dengan cadangan penubuhan Jabatan Parlimen berkuat kuasa 15 September lalu.

Kelmarin, pada sidang media selepas sidang media Lim berhubung kempen ‘Selamatkan Parlimen’, Nazri berkata, calon bagi jawatan ketua pengarah dikenal pasti dan menunggu pengesahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.

Mengulas perkara itu, Nazri mengaku beliau ada menyatakan jabatan itu akan diterajui ketua pengarah dan memberi jaminan menangani salah faham itu dan menukar nama jawatan itu kepada pengurus.

Ditanya kenapa beliau tidak membuat penjelasan lebih awal dan membiarkan media terus merujuk badan pentadbiran itu sebagai Jabatan Parlimen, Nazri berkata, beliau tidak mempunyai kesempatan berbuat demikian.

Bagaimanapun, Lim tetap berpendapat pengwujudan jabatan mahupun pejabat tetap satu usaha yang mengancam kebebasan Parlimen kerana ia menjurus kepada doktrin pemisahan di antara kerajaan, perundangan dan kehakiman, dalam sejarah 48 tahun negara.

Presiden Tenaganita, Irene Fernandez, yang turut serta mencadangkan kerajaan memperkenal semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992 bagi mengatasi masalah yang berbangkit berkaitan pentadbiran Parlimen.

Petikan: Berita Harian 12 Oktober 2005


Tuesday, October 11, 2005

Guna Pembangkang Pulak..... Apa Nak Jadi?

Kebebasan Ahli Parlimen tidak terjejas: Nazri
Oleh Wan Hazmir Bakar dan Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jabatan Parlimen tidak sama sekali menjejaskan integriti Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara mahu pun kebebasan Ahli Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Merujuk dakwaan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang bahawa integriti dan kebebasan Parlimen kini terancam, Mohamed Nazri berkata, adalah sesuatu yang ‘tak masuk akal, remeh-temeh dan bodoh’ untuk membicarakan sesuatu yang tidak benar.

"Apabila kita bercakap mengenai kebebasan Parlimen kita bercakap mengenai Ahli Parlimen. Kebebasan Ahli Parlimen langsung tidak terjejas dengan penubuhan Jabatan Parlimen," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Ia diadakan sejurus selepas Lim dan wakil DAP lain mengadakan sidang media bagi mengumumkan kempen ‘Selamatkan Parlimen’.

Lim antara lain mendakwa penubuhan Jabatan Parlimen mengancam kebebasan Parlimen dan serangan serius terhadap doktrin pemisahan kuasa di antara cabang kerajaan, perundangan dan kehakiman, dalam sejarah 48 tahun negara.

Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, mengadakan sidang meja bulat tergempar membabitkan Ahli Parlimen serta masyarakat madani dan memohon mesyuarat jawatankuasa dewan bagi membincangkan perkara itu hari ini.

Penubuhan Jabatan Parlimen diumumkan Mohamed Nazri, Rabu lalu, selepas Kabinet meluluskan penubuhannya berkuat kuasa 15 September lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri, berkata Jabatan Parlimen itu bertujuan melicinkan urusan pentadbiran di Parlimen selain memberi kebebasan kepada Setiausaha Dewan untuk melakukan tugas sebenarnya iaitu kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, dengan ada jabatan baru itu segala urusan pentadbiran Parlimen, termasuk soal tuntutan Ahli Parlimen dan penjagaan bangunan Parlimen, boleh diuruskan kakitangan yang diterajui ketua pengarah.

"Sekarang ini keadaan kelam kabut, kalau Ahli Parlimen mahu mengadu soalan jamban, takkan Setiausaha Dewan yang perlu menanganinya," katanya.

Menjawab soalan, Mohamed Nazri berkata, kedudukan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga tidak akan tergugat kerana mereka bukan terletak di bawah jabatan itu.

Sebaliknya, kedudukan mereka lebih tinggi daripada ketua pengarah serta lebih berkuasa daripada menteri.

"Perlembagaan Persekutuan menyatakan kita tidak boleh mengkompromi kedudukan Speaker... apa yang kita lakukan tidak mengkompromi kedudukan Speaker," katanya.

Mohamed Nazri berkata, calon bagi jawatan Ketua Pengarah Jabatan Parlimen itu dikenal pasti dan pengumumannya akan dibuat selepas mendapat kepastian Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman,

Ditanya apakah beliau akan menghadiri sidang meja bulat tergempar itu, Mohamed Nazri berkata: "Kalau Kit Siang jemput, saya pergi."

Petikan: Berita Harian 11 Oktober 2005


Friday, October 07, 2005

Langit Tak Selalu Cerah......

Jabatan Parlimen kendalikan urusan pentadbiran dua Dewan

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kerajaan meluluskan penubuhan Jabatan Parlimen Malaysia yang bertanggungjawab mengendalikan urusan pentadbiran membabitkan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berkuat kuasa 15 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, penubuhan jabatan baru itu adalah bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dan menerima arahan Kabinet membabitkan urusan Parlimen secara terus.

Selaras dengan itu, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melantik seorang Ketua Pengarah bagi jabatan tersebut yang diletakkan di bawah kuasa menteri.

Sebelum ini, perjalanan dan pengurusan pentadbiran Parlimen diletak di bawah tanggungjawab Setiausaha Dewan Rakyat yang juga Setiausaha Dewan Negara.

``Setiausaha Dewan Rakyat bukan terletak di bawah saya sebaliknya Speaker, ini menyebabkan selama satu tahun saya tidak boleh mengadakan mesyuarat pasca Kabinet kerana tidak ada pegawai.

``Jadi selepas ini, dengan adanya Ketua Pengarah, barulah saya dapat mengadakan mesyuarat pasca Kabinet dan menyampaikan segala keputusan Kabinet berhubung segala urusan Parlimen,'' katanya pada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, kewujudan jabatan tersebut yang akan diasingkan dengan Setiausaha Dewan Rakyat mampu memantapkan perjalanan pentadbiran Parlimen yang mempunyai 232 kakitangan.

Katanya, keputusan itu juga membolehkan Setiausaha Dewan Rakyat kini tidak lagi dibebankan dengan tugas-tugas pentadbiran Parlimen sebaliknya akan menumpukan urusan perjalanan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau menjelaskan, Setiausaha Dewan Rakyat dan Negara akan bertanggungjawab ke atas prosiding dewan seperti penyediaan Kertas Aturan Urusan Mesyuarat, mengeluarkan notis mesyuarat kepada ahli Parlimen dan kementerian.

``Beliau juga akan menjadi Setiausaha kepada semua jawatankuasa yang dibentuk oleh Dewan Rakyat seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara,'' katanya.

Jelasnya, sebelum ini Setiausaha Dewan Rakyat terpaksa mengendalikan tugas-tugas pentadbiran termasuk membabitkan tuntutan perbelanjaan ahli-ahli Parlimen.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Ketua Pengarah Jabatan Parlimen bertanggungjawab menyediakan kemudahan kepada ahli-ahli Parlimen seperti yang termaktub dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

``Ketua pengarah akan bertindak sebagai pengawal dan bertanggungjawab kepada perbelanjaan jabatan selaras dengan dasar bajet negara.

``Beliau juga akan menerajui usaha meningkatkan kualiti jabatan,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 7 Oktober 2005


This page is powered by Blogger. Isn't yours?