Saturday, May 23, 2009

Babi...!!!


Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging babi. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga.

Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Wabak yang sedang hebat menular dan berjangkit tanpa memberitahu kepada mangsa. Influenza A (H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico kini sudah sampai ke negara jiran, Thailand.

Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kampung kita ada babi baru boleh kena. Babi tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.

Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Persoalannya bagaimana manusia dijangkiti virus ini?

Jawapannya, manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus ini.

Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan babi atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia. Kalau begitu keadaannya, penyakit ini sudah ada vaksinnya? Jawapannya, setakat ini tiada vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus ini.

Islam mempunyai penyelesaiannya, Allah SWT yang menjadikan manusia dan yang menjadikan selain manusia telah mengharamkan secara qatie (pasti) bahawa daging babi tidak boleh dimakan.

Firmannya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173).

Ulasan Sayyid Qutub menarik minat saya untuk dikongsikan di sini, beliau menjelaskan: “Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

Cacing yang sangat berbahaya

“Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?” ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Larangan ini juga termasuk menyentuh atau memegang binatang tersebut. Dunia perubatan pada hari ini telah membuktikan bahawa di dalam daging babi, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya (cacing pita dan telur-telurnya yang keras) yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dalam surah yang sama Allah SWT mengajak manusia keseluruhannya supaya makan makanan yang halal lagi baik, firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168).

Seruan “Wahai manusia”, dalam ayat di atas memperlihatkan bahawa Allah SWT yang Maha Agung Pencipta segala sesuatu yang bersifat Rahman, menyeru agar siapa sahaja dia sama ada mukmin mahu pun kafir, Dialah Pencipta mereka dan Dialah yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.

Dan makanan yang dimakan itu mestilah sifatnya halal dan baik. Halal dari sudut hukum dan baik dari sudut zatnya.

Anehnya manusia suka mendekati yang haram yang jelas mendatangkan mudarat sedangkan yang halal cukup banyak. Ingatlah yang haram hanyalah sedikit dan yang halal itu tidak terhitung oleh manusia.

Larangan “Bible” ke atas para penganut Kristian agar mereka tidak memakan daging babi. Antaranya:- Dalam Kitab Deuteronomy (The Fifth Book of Moses Called), Bab 14 dinyatakan:

Ayat 8 “Also the swine is unclean for you, because it has cloven hooves, yet does not chew the cud; you shall not eat their flesh or touch their dead carcasses”

Larangan “Bible” ini antara lain menyatakan bahawa babi tersebut kotor (unclean), bentuk kakinya “cloven hooves” dan babi tidak mengunyah makanan yang ada dalam mulutnya. Maka “Bible” melarang penganut Kristian memakan daging babi dan menyentuh bangkainya.

Namun, bagi setengah penganut Kristian tertentu, mereka beranggapan bahawa jika mereka tidak memakan babi, ia akan menjadikan mereka sama seperti Yahudi. Mereka enggan digelar sebagai Yahudi sebagaimana Yahudi tidak mahu percaya bahawa “Messiah” yang dijanjikan kepada Yahudi adalah Nabi Isa a.s. kerana takut digelar sebagai Kristian. Sedangkan mereka (penganut Kristian) amat memusuhi Yahudi kerana mereka percaya (mengikut aqidah Kristian) orang Yahudilah yang telah membunuh Nabi Isa a.s.

Ini kerana The Book of Deuteronomy adalah termasuk dalam Perjanjian Lama (Old Testament) yang diberikan kepada Nabi Musa a.s. (mengikut kepercayaan mereka). Sedangkan dalam ajaran Kristian, undang-undang larangan tersebut terpakai kepada semua manusia. Ini disebut dalam beberapa ayat “Bible” termasuk Psalm 94:12; Ezekiel 18:5-9; Mark 2:27; dan Romans 2:12-16.

Walaupun begitu, sebenarnya fenomena kebanyakan penganut Kristian masih memakan babi walaupun kitab suci mereka sendiri melarangnya, adalah sama dengan keadaan orang Islam kita yang masih meminum arak walaupun terdapat ayat Al-Quran dan Hadith yang jelas dan terang melarangnya.

Kenapa??? Jawabnya, orang Islam dan Kristian species ini adalah dari jenis yang tidak pernah mempedulikan apa kata “TUHAN”!!!


Tuesday, March 10, 2009

PPSMI

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI

Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu China Beijing Foreign Studies University

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.



Tuesday, October 17, 2006

bangau oh bangau...

Kisah bangau oh bangau di negeri Alam Shah Bana...

Satu al-kisah Maharaja Negeri Alam Shah Bana (meminjam nama negeri P. Ramlee), menitahkan semua pegawai dalam kerajaannya datang bersemuka untuk satu sesi dialog bagi membincangkan masalah banjir besar yang melanda negeri tersebut. Maka setelah semuanya berkumpul Maharaja tersebut dengan tidak melengahkan masa terus sahaja meminta pegawai yang bertanggungjawab melebar dan mendalamkan sungai memberi sebab-sebab mengapa banjir boleh berlaku.

Maka pegawai itu pun berkata:


“Tuanku, patik telah berusaha dengan begitu susah payah untuk mendalam dan melebarkan sungai ini, namun banjir tetap juga berlaku, Tuanku. Beginilah Tuanku, perkara ini mungkin kita boleh tanyakan kepada Pegawai Pembangunan kerana beliau lebih arif tentang punca banjir ini berlaku. Patik lihat banyak kawasan telah dibangunkan dengan pelbagai prasarana, perumahan, perniagaan dan industri yang telah menyebabkan peningkatan air larian sehingga kalau berlaku hujan dengan kadar yang sedikit pun ia tetap akan mengakibatkan banjir. Apatah lagi sekiranya berlaku hujan dengan kadar luar biasa seperti yang terjadi baru-baru ini. Oleh kerana patik tidak mendapat maklumat tersebut maka patik design ikut keadaan semasa sajalah. Itulah cadangan patik Tuanku”.

Percaya dengan kata-kata Pegawai Melebar dan Mendalam Sungai, Tuanku pun menitahkan supaya Pegawai Pembangunan bangun memberi penjelasan.

“Mungkin ada juga betulnya apa yang dikatakan oleh Pegawai Melebar dan Mendalam Sungai itu Tuanku. Tapi kalau kita tanyakan kepada Pegawai Perancangan itu mungkin lebih baik kerana Pegawai Perancangan yang membuat perancangan. Mestilah dia telah buat projection berapa kadar air larian yang akan diakibatkan oleh pembangunan yang akan dilaksanakan nanti. Sepatutnya dengan nasihat yang akan diberikan oleh Pegawai Perancangan itu maka dapatlah kita menganggarkan saiz sungai yang akan kita bina nanti supaya sungai tersebut boleh menampung pertambahan air larian yang diakibatkan oleh sesuatu kawasan yang akan dibangunkan.”

Tuanku pun memalingkan muka ke arah Pegawai Perancangan. Mengerti dengan keadaan tersebut maka beliau pun memberi respons.

“Bukanlah patik nak mengelakkan diri dari dituduh Tuanku. Perancangan yang patik buat memang telah mengambilkira pertambahan penduduk dan segala aspek pembangunan yang akan dijalankan dalam kawasan tadahan. Perancangan yang patik buat bagi pembangunan di situ adalah yang paling optimum. Tidak pernah dalam sejarah perancangan ianya telah dibuat dengan begitu teliti. Patik rasa baik kita minta penjelasan Pegawai Melulus Tanah kerana tanah-tanah yang sepatutnya menjadi green lung itu telah menjadi milik individu.

Sebab dalam pelan master yang patik buat dahulu banyak kawasan rezab green lung yang
patik telah rancangkan. Dengan adanya green lung ini, di samping dapat menyerap haba di kawasan bandar ia juga berkesan menyerap air hujan lebat yang turun sekaligus mengelakkan daripada berlaku banjir. Jadi patik tidak puas hatilah kalau patik yang persalahkan”.

Sambil menggaru-garu kepala, Pegawai Melulus Tanah bangun mempertahankan diri.

”Begini Tuanku, tanah ini sebenarnya telah dipohon seseorang yang patik tidak ada kuasa menolaknya, patik cuma menjalankan tugas. Jadi demi menjaga periuk nasik patik, baik patik luluskan sahaja tanah-tanah yang mereka pohon itu. Lagi pun kalau nasib baik adalah sedikit imbuhannya dari orang yang mohon tanah itu. Di samping itu, patik rasa elok juga kita minta penjelasan kepada Datuk Bendahara kerana Datuk Bendahara yang memegang peruntukan, mungkin peruntukan yang diluluskan tidak mencukupi untuk menampung projek-projek melebar dan mendalamkan sungai”.

Maka Datuk Bendahara pun bersuara: ”Benar seperti yang diperkatakan oleh Pegawai Melulus Tanah itu, Tuanku. Perutukan yang diluluskan tidak memadai bagi pembinaan struktur menebat banjir yang memerlukan puluhan juta ringgit. Tapi apa boleh buat, itu sahaja duit yang kita ada. Keadaan ekonomi masih belum pulih dari kelembapan menyebabkan cukai korporat tidak menggalakkan. Apa yang boleh saya buat, ini hanyalah disebabkan masalah ekonomi. Adalah baik juga kalau kita tinjau pendapat Pegawai Ekonomi mengapa boleh terjadi demikian”

Dengan tersipu-sipu Pegawai Ekonomi bangun. Dalam hatinya berkata ”Ingatkan aku boleh selamat tadi..”. Maka beliau pun berkata: ”George Soros, Tuanku, George Soros”.

”Apa kena mengena dengan George Soros?”. Titah Tuanku

”Beliau telah menyedut wang yang rancak mengalir dalam negara seumpana pontianak menyedut darah dari badan kita Tuanku.....jadi George Soros yang salah tuanku, George Soros....”

”Jadi Beta dah dapat bayangkan dah...George Soros ni serupa dengan ular dalam kisah Bangau oh Bangau. Rupa-rupanya George Soros yang punya angkara. Datuk Panglima pergi tangkap George Soros dan bawa dia ke muka pengadilan...”

Jawab Datuk Panglima, perlahan ”Tak boleh Tuanku....”

”Kenapa tak boleh?”

”Makan dan barbekiu kita hari ini dia yang sponsor Tuanku.....”

”Alamak....” Maharaja tak dapat berkata-kata lagi....

Begitulah serba sedikit cerita ringkas di negeri Alam Shah Bana tentang betapa besarnya pengaruh Lagu ”Bangau oh Bangau” yang dinyanyikan oleh pegawai-pegawai negeri Alam Shah Bana semasa dizaman persekolahan mereka dahulu sehingga terbawa-bawa ke alam pekerjaan.
Menyedari hakikat tersebut, maka lagu ”Bangau oh Bangau” yang asyik menyalahkan orang lain telah tidak lagi diperdengarkan apatah untuk dinyanyikan di negeri Alam Shah Bana.

Tetapi bagaimana pula dengan keadaan kita hari ini? Cubalah tuan-tuan dan puan-puan tanyakan pada anak-anak terutama yang sekolah rendah sama ada mereka masih diajarkan dengan lagu ’Bangau oh Bangau’. Jadi diharapkan ada sedikit moral yang boleh kita ambil dari kisah bangau oh bangau ini.

Sekian.


Tuesday, February 14, 2006


Tuesday, January 03, 2006

BN Salahguna Kuasa!!!

Pengerusi SPR bantah salahguna RTM oleh BN
Tuesday, January 03 @ 09:56:45 MYT

Oleh SALMAN HUSIN
JOHOR BAHRU, 3 Jan (Hrkh) – Tidak semena-mena dan mengejutkan, Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman, menyifatkan langkah kerajaan menggunakan media awam khasnya RTM berkempen untuk partinya, Barisan Nasional (BN) secara terang-terangan dalam pilihan raya menyalahi etika.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Syarahan Umum bertajuk ‘Demokrasi dan Pilihanraya Di Malaysia’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, dekat sini, baru-baru ini.

"Jika kempen ini dibuat di stesyen televisyen swasta maka itu hak mereka, kita tidak boleh mempertikaikan hak mereka tetapi malangnya apabila kempen ini menggunakan hak awam yang menjadi hak milik seluruh rakyat maka ianya adalah sesuatu yang tidak sihat serta menyalahi hak kepentingan awam," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, sekiranya saluran tv awam ini digunakan untuk menonjolkan pembangunan yang dibuat kerajaan tidak mengapa tetapi apabila ianya menjurus kepada kempen pilihanraya maka itu tidak betul.

(Semasa kempen pilihan raya Pengkalan Pasir misalnya, RTM telah digunakan sepenuhnya untuk memukul kerajaan negeri Kelantan dan PAS. Padahal, mereka telah menjadikan sebuah rumah milik kerajaan negeri sebagai studio mini sementara mereka-editor)

Rashid juga mengakui dengan kuasa, wang yang banyak membolehkan BN terus dapat mengekalkan kuasa sehingga hari ini.

Selain wang dan kuasa BN juga mempunyai sumber tenaga manusia yang mencukupi bagi menghadapi lawan politik mereka dalam setiap kali Pilihanraya diadakan, katanya.

"SPR sendiri sebenarnya tidak bersetuju media milik awam ini digunakan secara tidak adil dan kita seringkali menyuarakan perlanggaran etika ini tetapi nampaknya dari setahun ke setahun tiada perubahan dibuat sebaliknya media awam ini terus digunakan untuk kepentingan politik BN," kata beliau.

Bagi beliau, apa yang berlaku ini seumpama pertandingan yang diadakan di padang yang tidak rata, jika amalan ini berterusan maka bukan saja pembangkang sukar untuk menang malah amalan demokrasi juga tercabar.

Selanjutnya beliau turut mengakui bahawa penipuan memang berlaku dalam pilihanraya namun ianya amat sukar untuk dikesan atau dibuktikan berikutan ketiadaan pihak terbabit tampil membuat pengakuan kepada SPR.

“Sepanjang tempuh lebih 20 tahun bersama SPR, belum ada pihak-pihak yang terbabit dalam kes penipuan dalam pilihanraya ini tampil membuat pengakuan, sama ada pihak yang menerima rasuah lebih-lebih lagi yang memberi jadi bagaimana SPR hendak bertindak.

Amalan rasuah adalah profesion tertua di dunia dan ianya tak boleh dihapuskan sama sekali, jika ada pihak mengatakan rasuah dapat dihapuskan sekiranya parti lain memerintah negara ini maka ianya adalah satu pembohongan besar," tegas beliau.
-zs
Petikan: harakahdaily 3 Januari 2006

Monday, October 24, 2005

Aku Jaguh....

Wujud semula Akta Perkhidmatan tidak jejas Parlimen - Shahrir

JOHOR BAHRU 23 Okt. - Cadangan untuk mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 tidak akan menjejaskan kredibiliti Parlimen sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang tertinggi di negara ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBC), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau yakin cadangan itu tidak akan menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku di Parlimen Taiwan.

Jelas beliau, dalam persidangan yang berlangsung di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kedua-duanya dikawal oleh Yang Dipertua Dewan dan kebanyakan ahli Parlimen merupakan golongan profesional yang mengutarakan isu-isu berkaitan rakyat.

``Saya tidak nampak jika akta itu diperkenalkan semula ia boleh menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku di Taiwan,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan hari raya kepada sembilan keluarga miskin di Kampung Desa Makmur Majidie di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz pada 17 Oktober lalu yang memberi peringatan bahawa Dewan Rakyat akan diibaratkan sebagai `kongsi gelap' jika akta berkenaan yang dimansuhkan 13 tahun, lalu diwujudkan semula secara tiba-tiba.

Shahrir berkata, ketika akta tersebut dilaksanakan bermula tahun 1963 hingga 1992, tiada berlaku kekecohan termasuk tumbuk menumbuk kerana ahli parlimen berdebat dengan lebih matang, teratur dan sopan.

``Akta itu hanya meletakkan pentadbiran Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara berada dalam kedudukan yang bebas daripada sistem pentadbiran awam,'' katanya.

Beliau memberi contoh, terdapat ahli Parlimen meminta kerajaan untuk melantik 10 orang pembantu penyelidik bagi kerja-kerja yang memerlukan penyelidikan.

Bagaimanapun jelasnya, sejak setahun lalu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum memberi jawapan mengenai kedudukan kumpulan tersebut untuk menjalankan tugas mereka.

Katanya, sungguhpun 10 orang pembantu penyelidik itu telah ditemu duga dan kalangan mereka dijanjikan kontrak selama tiga tahun, tetapi hanya diberi kontrak dua tahun dan gaji yang dijanjikan iaitu RM5,000 pula cuma diberi RM3,000 sahaja.

``Masalah itu angkara putar belit pentadbiran awam yang akan merosakkan Parlimen itu sendiri bagi membolehkan ia berfungsi dengan berkesan,'' katanya.

Petikan: Utusan Malaysia 24 Oktober 2005


Friday, October 21, 2005

Takziah Untuk Keluarga PM

Ahli Parlimen ucap takziah

KUALA LUMPUR: Seluruh warga Ahli Parlimen merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas kepulangan isteri beliau, Datin Seri Endon Mahmood ke rahmatullah, semalam.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata Ahli Parlimen amat sedih dan mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri dan semoga beliau bersabar.

“Saya tahu ini adalah kehilangan besar kepada keluarga Perdana Menteri kerana hubungan mereka rapat, lebih-lebih lagi karier politik Pak Lah disokong kuat isterinya,” katanya di Lobi Parlimen, semalam.

Serentak itu, persidangan Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sehingga Isnin ini sebagai menghormati pemergian Endon.

Pengumuman dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, sebaik persidangan dimulakan pada jam 10 pagi.

“Saya bagi pihak ahli Yang Berhormat dan pihak Parlimen seluruhnya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Perdana Menteri serta seluruh anggota keluarganya.

“Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan mereka yang salih dan salihah,” katanya.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, berkata berita pemergian Endon amat mengejutkan pada saat rakyat berasa peluangnya untuk sembuh daripada penyakit barah yang dihidapinya amat tinggi.

“Walaupun sering tidak dapat menemani Perdana Menteri sebagai wanita pertama sepanjang dua tahun kebelakangan ini, beliau tetap mempunyai kesan mendalam di hati rakyat sebagai individu penyayang serta gemar membuat kerja kebajikan.

“Sifatnya yang tidak pernah mengalah dalam memerangi barah hingga ke akhir hayat patut dicontohi wanita lain di negara ini yang berdepan dengan nasib sama,” katanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata seluruh pimpinan Pas merakamkan ucapan takziah kepada Abdullah dan keluarga serta berharap beliau bersabar menempuhi ujian Allah.

“Semoga rohnya dirahmati Allah,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, dari Makkah.

kami harap Perdana Menteri sekeluarga tenang menghadapi dugaan ini,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, dari Makkah.

Kedua-duanya kini berada di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata pemergian Allahyarhamah adalah kehilangan besar kepada negara dan berharap Abdullah sekeluarga menerima ujian Allah itu dengan tabah.

“Semoga keberkatan Ramadan memberi kekuatan dan ketabahan kepada Pak Lah sekeluarga,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat ditangguh

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sehingga Isnin ini sebagai menghormati kepulangan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, ke rahmatullah.

Pengumuman dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, sebaik persidangan dimulakan pada jam 10 pagi.

“Dengan perasaan yang amat dukacita dan sedih, ingin saya maklumkan bahawa Yang Amat Berbahagia, Datin Seri Endon Mahmood, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.55 pagi ini.

“Saya bagi pihak ahli-ahli Yang Berhormat dan pihak Parlimen seluruhnya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Perdana Menteri serta seluruh anggota keluarganya.

“Kita berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan mereka yang salih dan salihah.

“Saya menjemput ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bangun. Kepada yang beragama Islam diminta menghadiahkan Al-Fatihah dan bukan beragama Islam, bertafakur selama satu minit.

“Bagi menghormati Allahyarham, saya menangguhkan majlis mesyuarat ini sekarang sehingga pukul 10 pagi Isnin, 24 Oktober 2005,” katanya.

Mengikut aturan persidangan, Menteri Kewangan dijadualkan menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006 peringkat dasar, semalam.

Sementara itu, Ramli ketika ditemui di Lobi Parlimen berkata, Endon adalah kenalan lama keluarganya yang sentiasa mengambil berat kebajikan orang lain.

“Allahyarham cekal melawan penyakitnya dan pemergiannya adalah kehilangan besar kepada semua,” katanya.

Timbalan Speaker, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata kekuatan Endon melawan barah yang dihidapinya membuktikan semangat juang wanita pertama itu untuk sembuh, tidak pernah luntur.

“Sebagai doktor, saya tahu sangat keperitan dan kesukaran melawan barah...ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Petikan: Berita Harian 21 Oktober 2005


This page is powered by Blogger. Isn't yours?